Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu 'anhu telah berkata : Seorang Arab Desa telah datang kepada Rasulullah S. A. W dan menyatakan tujuannya :
Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.
Maka baginda S. A. W telah berkata kepadanya: Tanyalah apa yang engkau kehendaki.
Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang alim
Baginda S. A. W menjawab : Takutlah kepada Allah maka engkau akan jadi orang yang alim
Dia berkata : Aku mahu menjadi orang paling kaya
Baginda S. A. W menjawab : Jadilah orang yang yakin pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya
Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang adil
Baginda S. A. W menjawab: Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia
Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang paling baik
Baginda S. A. W menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia
Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang istimewa di sisi Allah
Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan zikrullah nescaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah
Dia berkata : Aku mahu disempurnakan imanku
Baginda S. A. W menjawab : Perelokkan akhlakmu nescaya imanmu akan sempurna
Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik )
Baginda S. A. W menjawab : Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsinin
Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat
Baginda S. A. W menjawab : Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat
Dia berkata : Aku mahu berjumpa Allah dalan keadaan bersih daripada dosa
Baginda S. A. W menjawab : Bersihkan dirimu daripada najis dosa nescaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa
Dia berkata : Aku mahu dihimpun pada hari qiamat di bawah cahaya
Baginda S. A. W menjawab : Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah cahaya
Dia berkata : Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari qiamat
Baginda S. A. W menjawab : Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain nescaya Allah akan mengasihanimu pada hari qiamat
Dia berkata : Aku mahu dihapuskan segala dosaku
Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan beristighfar nescaya akan dihapuskan (kurangkan ) segala dosamu
Dia berkata : Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia
Baginda S. A. W menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia
Dia berkata : Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia
Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa menyerah diri
(tawakkal) kepada Allah nescaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia
Dia berkata : Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah
Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa berada dalam keadaan bersih ( dari hadas ) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu
Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya
Baginda S. A. W menjawab : Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Mereka
Dia berkata : Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari qiamat
Baginda S. A. W menjawab : Jangan marah kepada orang lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya
Dia berkata : Aku mahu diterima segala permohonanku
Baginda S. A. W menjawab : Jauhilah makanan haram nescaya segala permohonanmu akan diterimaNya
Dia berkata : Aku mahu agar Allah menutupkan segala keaibanku pada hari qiamat
Baginda S. A. W menjawab : Tutuplah keburukan orang lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari qiamat
Dia bertanya : Siapa yang terselamat daripada dosa?
Baginda S. A. W menjawab : Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan
Dia bertanya : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?
Baginda S. A. W menjawab : Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala)
Dia bertanya: Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?
Baginda S. A. W menjawab : Buruk akhlak dan sedikit ketaatan
Dia bertanya : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat ?
Baginda S. A. W menjawab : Sedekah dalam keadaan sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih sayang
Dia bertanya : Apakah yang akan memadamkan api neraka pada hari qiamat?
Baginda S. A. W menjawab : Sabar di dunia dengan bala dan musibah
Telah berkata Imam Mustaghfirin: Aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanafaat selain hadis ini....
0 ulasan :
Post a Comment